Mencari Sebuah Rumah di Leeds

Rumah ooh rumah…
Aku ingatkan bila visa dah selesai, satu beban besar dah lepas.
Rupanya belum.
Ada satu lagi benda yang mungkin lagi menguji kesabaran — mencari rumah di Leeds.
Mula-mula dulu aku fikir mudah saja. Buka Rightmove, Zoopla, OpenRent. Cari rumah tiga bilik. Tengok harga. Kalau berkenan, hantar enquiry.
Rupanya tidak semudah itu, saudara-saudara. 😂
Aku bukan datang seorang.
Aku datang dengan isteri dan empat orang anak. Enam orang semuanya. Jadi setiap kali jumpa rumah yang cantik, soalan pertama bukan lagi,
“Cantik tak rumah ni?”
Tetapi,
“Dia nak terima kami berenam tak?”
Lepas itu ada pula syarat furnished.
Kami datang dari Malaysia. Takkanlah hari pertama sampai Leeds aku nak pergi membeli katil empat biji, sofa, meja makan dan almari. Jadi kalau rumah itu unfurnished, walaupun cantik macam mana pun, aku terpaksa pejam mata dan tekan pangkah.
Kemudian datang pula masalah viewing.
Aku masih di Malaysia.
Ada rumah yang memang menarik. Harga cantik. Kawasan pun okay. Bila tanya boleh tak buat video viewing, jawabnya:
“Unfortunately, viewing must be in person.”
Baiklah.
Pangkah lagi. 😂
Begitulah hampir setiap malam.
Buka laptop.
Rightmove.
Zoopla.
OpenRent.
OnTheMarket.
Kadang-kadang pukul 11 malam masih lagi aku dengan isteri tengok gambar dapur rumah orang di Leeds.
“Yang ni okay tak?”
“Garden kecil.”
“Yang ni?”
“Unfurnished.”
“Yang ni cantik.”
“£1,400.”
Tutup. 😂
Ada satu rumah di Cross Green Lane yang kami dah mula suka.
Landlordnya, Mohibur, sangat baik melayan. Siap buat video rumah untuk kami tengok dari Malaysia. Masa itu rasa macam dah semakin hampir.
Aku dah mula bayangkan.
“Oh, mungkin inilah rumah kita.”
Sekali akhirnya Mohibur beritahu ada orang lain dah bayar deposit.
Pinangan ditolak.
Hahaha.
Sedih juga sebenarnya.
Bukan sebab rumah itu sempurna sangat pun. Tetapi selepas berhari-hari mencari, bila ada satu rumah yang nampak macam “boleh jadi”, kita mula meletakkan sedikit harapan.
Esoknya buka balik portal.
Cari lagi.
Kemudian muncul sebuah apartment di Hyde Terrace.
Lokasinya memang menggoda. Lebih kurang enam minit berjalan kaki ke University of Leeds. Furnished. Tiga bilik. £1,150 sebulan.
Masalahnya student accommodation.
Aku WhatsApp agentnya, Zak. Aku terus terang dari awal.
Aku datang dengan isteri dan empat anak.
Dia tanya umur anak-anak.
2, 5, 8 dan 10 tahun.
Kemudian dia tanya sama ada kami berdua student.
Aku jawab hanya aku full-time PhD student. Isteri datang sebagai dependant.
Aku tunggu.
Dalam kepala dah fikir,
“Haa… yang ni mesti kena reject.”
Tapi dia jawab,
“Oh okay, no worries. Thank you!”
Kemudian dia beritahu application aku dah dihantar untuk pertimbangan.
Belum tentu dapat.
Tapi sekurang-kurangnya masih hidup. 😂
Hari ini pula muncul dua lagi rumah.
Satu di Selby Road.
Bila tengok gambar belakang rumah…
Ya Allah.
Garden dia.
Rumput hijau. Luas. Berpagar. Memang jenis garden yang kalau empat orang budak dilepaskan, ayah boleh duduk minum kopi sambil buat-buat tak dengar mereka bergaduh. 😂
Masalahnya £1,300 sebulan.
Terus kembali ke alam nyata.
Scholarship aku cuma £1,571 sebulan. Gaji Malaysia memang masih berjalan sebab aku pergi atas paid study leave dan tajaan kerajaan, tetapi £1,300 untuk sewa sahaja tetap bukan angka yang kecil.
Cantik memang cantik.
Tapi bil elektrik tak boleh dibayar menggunakan pemandangan garden.
Hahaha.
Aku hantar enquiry juga.
Mana tahu.
Kemudian petang esoknya jumpa pula Quarry Mount.
Yang ini lain sedikit.
£1,200.
Furnished.
Tiga bilik.
Proper house.
Ada garden.
Dan yang paling menarik, LS6 — jauh lebih praktikal untuk aku berulang-alik ke universiti.
Rumahnya bukanlah jenis masuk majalah IKEA.
Bathroom dia pun ada sedikit aura England tahun 1997. 😂
Tapi entah kenapa aku suka.
Sebab semakin lama mencari rumah, aku rasa perspektif aku pun berubah.
Aku dah tak cari rumah yang paling cantik.
Aku cari rumah yang apabila kami berenam turun daripada kapal terbang dengan beg entah berapa biji nanti, kami boleh masuk, tutup pintu dan berkata,
“Okay. Untuk sementara waktu, inilah rumah kita.”
Ada tempat anak-anak tidur.
Ada dapur untuk isteri memasak.
Ada ruang untuk mereka bermain.
Aku boleh pergi universiti tanpa menghabiskan separuh kehidupan dalam perjalanan.
Dan setiap hujung bulan, aku masih boleh tidur tanpa memikirkan baki akaun bank. 😂
Enquiry Quarry Mount pun dah dihantar.
Sekarang tunggu.
Kadang-kadang memang fed up.
Serius.
Ada masa rasa macam,
“Ambil sajalah mana-mana rumah!”
Tapi tak boleh juga.
Sebab rumah ini bukan untuk bercuti seminggu.
Di sinilah anak-anak aku akan bangun pagi untuk pergi sekolah. Di sinilah mereka akan melalui musim sejuk pertama mereka. Di sinilah kami akan sambut Ramadan, mungkin raya, mungkin hari-hari ketika PhD aku berjalan elok… dan mungkin juga hari aku balik dari universiti dengan kepala berserabut sebab research tak menjadi.
Rumah itu nanti akan menjadi sebahagian daripada cerita kami di Leeds.
Sebab itu walaupun penat, esok aku tahu aku akan buka Rightmove lagi.
Refresh lagi.
Hantar enquiry lagi.
Kena reject, cari lagi.
Lucunya, dulu aku sibuk mencari supervisor yang sanggup menerima aku.
Sekarang supervisor dah ada.
University dah ada.
Visa dah ada.
Tinggal mencari seorang lagi manusia di bumi England yang sudi berkata:
“Yes, your family of six is welcome.”
Hahaha.
Semoga tak lama lagi.
Aku dah penat tengok rumah orang.
Aku nak tengok rumah sendiri pula. 😂